Labels

Thursday, February 9, 2012

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh
bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw
Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal
tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan
menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada
12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada
sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun
Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian
Maulidur Rasul.
2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul
Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi
saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi
di Makkah al-Mukarramah.
3. Hijrah
Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada
ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8
Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal
dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
4. Peperangan
Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara
tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan
Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar
(Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw.
Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun
632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah
al-Munawwarah.
6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah
Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan
pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani
Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti
walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula
menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina
Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
7. Pembukaan Iraq
Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq
dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar
ra.
8. Pembukaan Baitul Muqaddis
Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib
dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583
H.
9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol
Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera
Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H.
Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam,
masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di
negara tersebut.

No comments:

Post a Comment