Labels

Wednesday, February 8, 2012

Malaikat Berdoa Kepada Sesiapa Yang Berdoa Untuk Orang Lain


Antara amalan mulia yang diajar oleh Rasulullah saw ialah berdoa untuk
saudara seagama yang  lain tanpa pengetahuannya.

Amalam ini menyebabkan para malaikat berdoa agar kebaikan yang dipohon itu juga menjadi miliknya. 
Doa seperti ini juga adalah mustajab sebagaimana sabda Rasulullah saw.
Daripada Abu Darda' RA bahawa dia mendengar Nabi Muhammad SAW
bersabda yang maksudnya : " Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap
saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan
berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya."
(Riwayat Muslim). 

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda' RA, Rasulullah SAW
bersabda maksudnya : "Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara
ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi
kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara
muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau
juga beroleh manfaat yang sama." (Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu Umar RA, Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud : "Doa
yang paling segera dimakbulkan ialah doa secara ghaib (tanpa pengetahuan
orang yang didoakan itu)." (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).

 Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berdoa untuk kebaikan saudara
muslim kita. Jangan  doa kita hanyalah semata-mata untuk diri kita sahaja.
Begitu indah dan cantiknya ajaran Islam. Islam mendidik kita agar tidak
tidak mementingkan diri sendiri.

Apatah lagi janji Rasulullah saw bahawa doa yang dipanjatkan untuk orang
lain tanpa pengetahuannya akan dimakbulkan oleh Allah dan diaminkan oleh
para malaikat,makhluk Allah yang terpelihara daripada dosa.

Sekiranya anda seorang pelajar, disamping berdoa untuk kebaikan diri sendiri
jangan lupa untuk berdoa kepada ibubapa anda, guru-guru anda dan rakan
seperjuangan yang bersama-sama ingin mencipta kecemerlangan dalam akademik.
Dengan amalan ini, jiwa anda akan suci dan murni daripada sifat hasad dengki
dan iri hati terhadap rakan sebaya.

Semoga Allah memberi taufik dan  kekuatan iman kepada kita untuk mengamalkan
amal soleh yang bermanfaat ini.



No comments:

Post a Comment